Treler hilang kawalan, enam kenderaan terlibat nahas di Banting

Enam kenderaan terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 32.5 Jalan Klang–Banting, berhampiran sebuah bank di Banting, selepas sebuah treler hilang kawalan, pada Rabu.
Kejadian berlaku kira-kira 12.15 tengah hari, namun tiada kecederaan serius dilaporkan melibatkan mangsa berusia antara 20 hingga 50-an, termasuk dua wanita.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi, treler dari arah Dengkil menghala ke Sungai Buaya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh treler lain dan beberapa kenderaan lain termasuk Proton X90, Proton Persona, Gen2 dan sebuah Toyota Alphard yang sedang berhenti di bahu jalan.
Pemandu treler berusia 40-an itu disahkan memiliki lesen memandu yang sah dan didapati negatif dadah hasil ujian saringan air kencing.
Setakat ini, semua pemandu termasuk dua suri rumah serta beberapa saksi bebas telah tampil memberikan keterangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.
Polis turut menyiasat kemungkinan masalah brek menjadi punca nahas dan akan menghantar treler terbabit untuk pemeriksaan lanjut.