Operasi bas Jalan Ampang diperluas dari 4.30 petang hingga 7 malam

Operasi lorong bas di Jalan Ampang akan diperluas ke waktu puncak petang bermula 19 Mei ini, melibatkan tempoh dari 4.30 petang hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pelaksanaan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, melibatkan jarak sepanjang 0.62 kilometer dari persimpangan Jalan Memanda 1 hingga ke persimpangan Jalan Memanda 9 serta dari persimpangan Jalan Cengal ke persimpangan lampu isyarat Jalan Wawasan Ampang.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada penumpang laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Hentian Mulia Jaya – Lebuh Ampang), selain laluan bas perantara dari Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya dan Lembah Jaya.