Kos projek MyKiosk 2.0 perlu disiasat Jabatan Audit, SPRM – MCW

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Jabatan Audit Negara menjalankan audit menyeluruh terhadap kos dan pelaksanaan projek MyKiosk 2.0 susulan perdebatan awam yang timbul berkaitan nilai dan keberkesanan projek itu.
MCW turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan wujud salah guna kuasa dalam projek berkenaan yang didakwa tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan terbengkalai di beberapa lokasi.
Menurut MCW, wujud jurang besar antara kos pembinaan MyKiosk 2.0 yang mencecah RM25,000 bagi keluasan 62 kaki persegi berbanding Projek Perumahan Rakyat (PPR) berkeluasan 700 kaki persegi dengan harga sekitar RM35,000.
Ini menjadikan kos per kaki persegi MyKiosk hampir lapan kali ganda lebih tinggi berbanding PPR.
Walaupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan kos tinggi berpunca daripada reka bentuk baharu yang lebih baik untuk peniaga kecil, MCW menegaskan bahawa pecahan kos dan dokumen perolehan perlu didedahkan secara terbuka.
Bagi MCW, keberkesanan projek seperti MyKiosk 2.0 perlu dinilai berdasarkan impak sosial dan pulangan kepada rakyat, bukan sekadar pelaksanaan perbelanjaan kerajaan.