Enam lebuh raya dan 24 jalan utama ditutup, dilencongkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Sebanyak enam lebuh raya dan 24 jalan utama di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula 23 hingga 26 Mei sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Penutupan akan bermula seawal 7.30 pagi hingga 8 malam setiap hari sepanjang sidang berlangsung dengan laluan ditutup 30 minit sebelum pergerakan delegasi dan akan dibuka semula selepas semua kenderaan rasmi tiba di lokasi ditetapkan.
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, antara lokasi yang diguna dalam pergerakan ialah laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ke pusat bandar, penginapan rasmi, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan Istana Negara.
Tambah Mohd Yusri, kawalan trafik juga membabitkan enam lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Duta–Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
Selain itu, sebanyak 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang turut yang diguna dalam kawalan pergerakan, termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P Ramlee, Jalan Kia Peng, Jalan Pinang, Jalan Conlay, Jalan Stonor, Jalan Perak, Jalan Tun Ismail, Jalan Kuching, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Damansara, Jalan Mahameru, Jalan Raja Laut, Jalan Parlimen, Jalan Travers, Jalan Bangsar, Jalan Maarof, Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Sungai Besi dan Jalan Loke Yew.
Orang ramai dinasihatkan mencari laluan alternatif dan menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel bagi mengelakkan kesesakan teruk di kawasan strategik ibu kota.