“Anda boleh cakap apa sahaja anda mahu,” – Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tidak mempersoalkan kritikan terhadap pelantikan semula beliau untuk penggal ketiga, dan menyifatkan setiap pihak bebas menyuarakan pandangan.
Pelantikan semula Azam bagi tempoh setahun bermula 13 Mei 2025 hingga 13 Mei 2026 dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, menurut kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 9 Mei lalu.
Bagaimanapun, keputusan tersebut menerima bantahan daripada beberapa pihak termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mempersoalkan kesepakatan dalam kalangan kepimpinan kerajaan.
Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menyatakan kesediaan untuk menyampaikan bantahan rasmi kepada Perdana Menteri sekiranya diberi mandat dalam pemilihan parti akan datang.