SPRM akan soal Jovian Mandagie di Indonesia, siasat harta Ismail Sabri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyoal bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jovian Mandagie, di Indonesia bagi membantu siasatan berkaitan pengisytiharan harta bekas perdana menteri itu.
Jovian, yang juga warganegara Indonesia, dikaitkan dengan beberapa aset yang dinyatakan oleh Ismail dalam pengisytiharan dibuat Februari lalu.
Setakat ini, SPRM telah merekod kenyataan daripada 57 individu. Analisis harta Ismail telah selesai dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara akhir Jun.
SPRM turut mempertimbangkan penglibatan Ismail dalam sektor swasta dan pegangan syarikat bagi penilaian pendapatan.
Ismail dirakam kenyataan kali terakhir pada 7 Mei. Siasatan turut melibatkan rampasan wang tunai RM170 juta dan jongkong emas 16kg dalam beberapa serbuan, selain penahanan seorang pengurup wang.