Malaysia

Nurul Izzah kalahkan Rafizi, dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR; Ramanan menang jawatan Naib Presiden

Johor Bahru, 24 Mei
Dalam pemilihan parti PKR yang berlangsung penuh debaran, Nurul Izzah Anwar telah berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi, manakala penyandang jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli hanya memperoleh 3,866 undi, sekali gus gagal mempertahankan kedudukannya.

Dalam pemilihan bagi empat jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mencetus kejutan apabila meraih undi kedua tertinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memperoleh 5,895 undi, di belakang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendahului dengan 7,955 undi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berada di tempat ketiga dengan 5,889 undi, manakala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang mendapat tempat keempat dengan 5,757 undi.

Tiga daripada mereka merupakan penyandang jawatan Naib Presiden, kecuali Ramanan. Kemenangan dramatik Ramanan menyaksikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, gagal mempertahankan jawatannya.

Dalam pemilihan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil muncul sebagai calon dengan undi tertinggi.

Turut menang ialah Adam Adli, Chan Ming Kai, Gunaraj George, Dr Maszlee Malik, Akmal Nasir, A. Kumaresan dan G. Sivamalar.

Bagi sayap parti, Kamil Munim setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan, manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dinobatkan sebagai Ketua Wanita.

Keputusan pemilihan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, selepas Kongres Nasional PKR yang berlangsung semalam di Johor Bahru.

Sebelum itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menang tanpa bertanding, merasmikan kongres berkenaan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker