Ibu kepada remaja OKU hilang lebih sehari ketika cari lembu trauma

Ibu kepada Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, remaja OKU pembelajaran yang hilang lebih 30 jam selepas keluar mencari lembu di Kampung Permatang Pasir, meluahkan rasa trauma dengan kejadian yang berlaku.
Siti Norehan Azhar, 38, berkata dia serik untuk membenarkan anaknya mengambil upah menjaga ternakan, apatah lagi selepas ada pihak mengaitkan kehilangan itu dengan unsur mistik.
Menurutnya, lokasi penemuan Aidil turut menimbulkan persoalan kerana kawasan itu sudah beberapa kali diperiksa oleh pasukan SAR, penduduk, polis dan bomba, namun tidak menemui sebarang petunjuk sebelum ini.
Aidil akhirnya ditemui dalam keadaan lemah sekitar pukul 2 pagi semalam, terbaring di bawah pokok kira-kira 600 meter dari pos SAR bomba. Operasi turut dibantu oleh ustaz dan pengamal perubatan Islam.