Malaysia

Nahas bas pelajar UPSI: Bas disewa sendiri pelajar, polis nafi pemandu bawa laju

Kemalangan ngeri membabitkan bas persiaran yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur–Barat, berhampiran Tasik Banding, disahkan bukan sebahagian daripada program rasmi universiti.

Pihak UPSI menjelaskan, perjalanan itu adalah inisiatif peribadi pelajar sempena cuti Hari Raya Aidiladha dan mereka menyewa bas berkenaan untuk pulang ke kampus dari kampung halaman masing-masing di Jertih dan Hulu Terengganu.

Susulan tragedi menyayat hati itu, UPSI segera menubuhkan pusat gerakan khas 24 jam bagi menyelaras bantuan kebajikan dan emosi kepada keluarga serta mangsa yang terlibat.

Pasukan kaunselor turut digerakkan, manakala wakil universiti telah dihantar ke Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Sementara itu, pihak polis menegaskan bahawa dakwaan pemandu bas memandu laju seperti yang tular di media sosial masih belum dapat disahkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan siasatan masih dijalankan, termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pemandu bas dilaporkan cedera di tangan, manakala penumpang Perodua Alza melibatkan pasangan suami isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan enam tahun turut cedera dan dirawat di Hospital Baling, Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker