Tiada isu kurang darah di HRPB – Exco Perak

Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kekurangan darah susulan kemalangan bas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.
Laporan mengenai kononnya hospital berdepan krisis bekalan darah turut disahkan tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi menegaskan bahawa pihak berkuasa sentiasa memantau keperluan semasa mangsa kemalangan dan bersedia memberikan bantuan jika diperlukan.
Katanya, semua tindakan diambil secara teratur oleh pihak hospital dan kerajaan negeri bagi memastikan rawatan mangsa berjalan lancar.
Beliau turut mengakui ramai pihak terkesan dengan insiden tersebut dan tampil menunjukkan keprihatinan, termasuk dengan menawarkan diri untuk menderma darah.
Namun beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan harus dilakukan secara berhemah dan tidak mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan masyarakat.