Nahas FRU: Lori batu kerikil terlebih muatan, pernah gagal PUSPAKOM dua kali

Siasatan awal mendapati lori yang bertembung dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei di Teluk Intan membawa muatan yang tidak dibenarkan dan berlebihan.
Lori milik syarikat Tashveen Trading itu sepatutnya membawa arang batu, namun didapati membawa batu kerikil serta melebihi had muatan dibenarkan sebanyak 70.67 peratus.
Syarikat lori berkenaan melanggar Seksyen 57(1)(b)(i) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Audit keselamatan JPJ (JISA) pada 19 Mei mendapati syarikat itu gagal dengan markah hanya 15 peratus, termasuk kegagalan pada semua tujuh komponen mandatori.
Rekod PUSPAKOM menunjukkan lori tersebut pernah gagal dua kali pada September 2024, namun lulus pemeriksaan terakhir pada Mac 2025.
Siasatan pasca kemalangan mendapati sistem brek dan tayar dalam keadaan baik, namun kerosakan teruk pada stereng menghalang pengesahan penuh fungsi komponen tersebut.
Kemalangan itu meragut nyawa sembilan anggota FRU dan mencederakan sembilan lagi. Pemandu lori, Rudi Zulkarnain Mat Radi, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 16 Mei.