Penyanyi rap dipercayai antara tiga yang ditahan seludup dadah di Laos

Seorang lelaki yang dipercayai penyanyi rap tempatan dilaporkan antara tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Laos selepas didapati cuba menyeludup lebih 100 bungkusan ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, pada 27 Mei lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, kesemua suspek ditahan selepas pihak kastam dan pasukan keselamatan lapangan terbang mengesyaki sesuatu yang mencurigakan semasa mereka melalui pemeriksaan rutin di terminal berkenaan.
Pemeriksaan lanjut terhadap enam beg pakaian milik suspek membawa kepada penemuan 103 bungkusan ganja dengan berat keseluruhan dianggarkan mencecah 86 kilogram.
Ketiga-tiga lelaki itu dilaporkan sedang dalam perjalanan menaiki penerbangan Thai Airways dengan destinasi akhir ke Jerman.
Pihak berkuasa percaya dadah berkenaan dibawa masuk untuk tujuan pengedaran di negara Eropah tersebut.
Identiti suspek masih belum didedahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Laos.
Namun, laporan media menyebut salah seorang daripada mereka dipercayai seorang penyanyi rap dari Malaysia yang pernah aktif dalam industri hiburan tempatan.
Ketiga-tiga mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan bakal didakwa mengikut undang-undang Laos, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan berkaitan dadah.