Kerajaan tanggung kos hampir setengah juta perjalanan Tun M ke Jepun

Kerajaan menanggung kos perjalanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Jepun bagi menghadiri Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 pada Mei lalu.
Peruntukan berjumlah hampir RM486,000 diluluskan selepas Dr Mahathir mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai persidangan yang berlangsung di Tokyo, melibatkan sembilan delegasi termasuk dirinya.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, permohonan seperti ini adalah dibenarkan mengikut peraturan sedia ada dan kelulusan akhir bergantung kepada budi bicara pejabat Perdana Menteri.
Walaupun hubungan politik antara Anwar dan Dr Mahathir sering tegang, kerajaan tetap membenarkan permohonan itu tanpa mempertimbangkan sentimen peribadi.
Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Forum Antarabangsa Nikkei dan pada forum itu, beliau memberikan bayangan tentang penyertaan terakhirnya dalam persidangan yang membincangkan ekonomi, teknologi dan masa depan Asia itu.