
Putrajaya, 14 Jun 2025 – Sebanyak 45 program di bawah Geran Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) 2025 telah diperaku dan kini menunggu kelulusan YAB Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen Batu merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas MITRA, Prabakaran.
Permohonan geran dibuka dari 2 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025, dengan 1,332 permohonan diterima melibatkan jumlah keseluruhan RM564 juta.
Beliau menjelaskan semua permohonan melalui tiga peringkat penilaian – saringan awal oleh MITRA, perakuan oleh Jawatankuasa Kerja dan Pemandu MITRA, serta kelulusan akhir oleh Perdana Menteri.
“Mitra kini sedang memproses semua permohonan. 45 cadangan pertama telah pun dihantar ke Pejabat Perdana Menteri untuk kelulusan,” katanya.
Beliau turut memohon semua pemohon untuk terus bersabar, sambil menegaskan bahawa proses ini dilaksanakan secara telus dan berintegriti demi memastikan hanya program yang benar-benar berimpak tinggi kepada masyarakat India akan diluluskan.