EksklusifMalaysia

Pemandu Bas Didakwa Sebabkan Kematian 15 Pelajar UPSI

GERIK, 14 Jun 2025 – Seorang pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, 39, didakwa di Mahkamah Majistret Gerik hari ini atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas pada 9 Jun lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dilakukan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat, kira-kira jam 1.15 pagi. Mangsa merupakan pelajar berusia antara 20 hingga 23 tahun.

Kesemua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan. Lesen memandu juga boleh digantung sekurang-kurangnya lima tahun.

Selain itu, tertuduh turut didakwa atas satu lagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan mengikut Seksyen 42(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.

Pendakwa memohon jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat ketat termasuk penyerahan dokumen perjalanan, larangan membuat kenyataan awam dan larangan mengganggu saksi.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya berpendapatan RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

Mahkamah akhirnya menetapkan jumlah jaminan RM19,000 secara keseluruhan, dengan seorang penjamin, dan menetapkan 14 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes. Lesen memandu tertuduh turut digantung serta-merta.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker