Pekerja cuci kereta warga Afghanistan cedera parah, kereta dipandu terjatuh tembok

Seorang pekerja warga Afghanistan cedera parah selepas kereta pelanggan yang dipandunya terjunam dari tempat letak kereta di tingkat tiga sebuah pangsapuri servis di Jalan Klang Lama, petang Ahad.
Lelaki berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah kedai cuci kereta dipercayai hilang kawalan ketika memandu Toyota Camry milik pelanggan selepas selesai dicuci.
Insiden berlaku apabila dia tersilap menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan itu merempuh tembok sebelum jatuh dan menghempap dua kereta lain yang diparkir di bawah.
Bagaimanapun, tiada pemandu yang terlibat dalam kedua-dua kereta Proton Iriz dan Perodua Myvi yang dihempap ketika kejadian jam 5.38 petang itu.
Mangsa kini dirawat di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.