Ejen Ali The Movie 2 kutip RM55.1 juta, rekod tertinggi filem animasi negara

Kejayaan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) membuktikan animasi tempatan masih mendapat tempat di hati penonton apabila kutipannya mencecah RM55.1 juta, menjadikannya filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia.
Lebih mengagumkan, naskhah terbitan WAU Animation dan Primeworks Studios itu bukan sahaja mengatasi semua filem animasi lain tempatan dan antarabangsa.
Malah, ia turut mengungguli beberapa filem blockbuster Hollywood dan Asia yang ditayangkan dalam tempoh dua bulan lalu.
Pencapaian ini menjadi bukti bahawa kandungan animasi berasaskan nilai tempatan mampu bersaing di layar utama, sekali gus mencerminkan kualiti kerja kreatif anak tempatan yang setanding dengan produk luar negara.
Dengan sasaran kutipan RM60 juta, kejayaan EATM2 terus menyemarakkan keyakinan terhadap potensi besar industri animasi tanah air.