RM11 juta dana sukuk lebuh raya MEX II dibelanjakan untuk peribadi guna wang kripto

Kira-kira RM11 juta daripada dana sukuk yang diperuntukkan untuk projek penyambungan Lebuhraya Maju (MEX II) dipercayai dibelanjakan dalam bentuk mata wang kripto.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa sebahagian besar dana itu digunakan untuk pembelian peribadi dan pelaburan digital yang tiada kaitan langsung dengan projek lebuh raya
Siasatan mendapati dana berkenaan berpindah tangan melalui beberapa entiti proksi sebelum digunakan untuk membiayai gaya hidup mewah termasuk hartanah, kenderaan mewah, jam tangan berjenama, barang kemas, beg tangan eksklusif, malah aktiviti perjudian di kasino.
Setakat ini, SPRM telah membekukan 14 akaun bank melibatkan jumlah keseluruhan RM156 juta dan merampas pelbagai aset mewah seperti kondominium serta tanah bernilai RM24.5 juta.
Termasuk sembilan kenderaan bernilai RM7.6 juta, jam tangan bernilai RM25 juta, serta barangan mewah lain termasuk empat ekor kuda dan minuman keras premium.
SPRM telah merekodkan keterangan daripada 55 saksi dan siasatan masih berlangsung.