Selepas 28 bulan, Aerotrain di KLIA kembali beroperasi hari ini

Selepas lebih 28 bulan terhenti untuk kerja naik taraf, perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akhirnya kembali beroperasi sepenuhnya mulai hari ini.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan semula sistem Aerotrain yang kini dimodenkan, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi lapangan terbang negara.
Dua set tren akan beroperasi secara bergilir manakala satu lagi disediakan sebagai tren simpanan. Aerotrain baharu ini mempunyai tiga gerabak dengan kapasiti 270 penumpang setiap perjalanan.
Walaupun perkhidmatan Aerotrain telah disambung, perkhidmatan bas pengantara masih dikekalkan buat sementara waktu sebagai langkah tambahan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penumpang.