Dari Pengarah JSJ kepada Ketua Pengarah AKPS, Shuhaily mula tugas hari ini

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada Selasa.
Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Pelantikannya berkuat kuasa serta-merta dengan kontrak selama dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Mohd Shuhaily memaklumkan, beliau telah menerima mandat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman untuk menyelesaikan beberapa perkara pentadbiran penting dalam masa terdekat.
Pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Mohd Shuhaily berdasarkan pengalaman 26 tahun dalam pasukan polis yang akan membantu memperkukuh kawalan sempadan negara serta membudayakan integriti dalam perkhidmatan.