Ketagih atau tidak, AADK berkuasa arah pengguna daun ketum jalani rawatan

Meskipun tidak mengalami ketagihan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tetap berkuasa untuk mengarahkan pengguna daun ketum untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata, kuasa itu diperoleh selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, pada tahun lepas.
Ruslin berkata, tindakan sama juga boleh diambil terhadap pengguna bahan terlarang yang lain seperti ekstasi, walaupun individu itu tidak menunjukkan ketagihan.
Tambahnya, walaupun individu berkenaan ambil dadah setahun sekali dan jika dikesan, pihak AADK boleh ambil tindakan bawah Akta Penagih Dadah.
Ruslin berkata, kerajaan turut menggalakkan rawatan secara sukarela bagi mereka yang salah guna dadah, memandangkan pendekatan berkenaan dilihat mampu memudahkan proses pemulihan individu yang terlibat.
Beliau berkata pendekatan itu, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengekang penyalahgunaan bahan terlarang melalui pendekatan rawatan serta pemulihan yang lebih inklusif dan progresif.