Apa yang Lee Zii Jia cuba sampaikan?

Tindakan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia memuat naik beberapa ilustrasi pelik di Instagram menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Hantaran yang memaparkan imej seperti kepala dijahit, individu berdarah akibat ditusuk, wajah terbakar dan latar gelap seolah-olah menggambarkan kekusutan fikiran itu pantas menarik perhatian, sehingga mengumpul lebih 75,000 tanda suka.
Lebih mengundang persoalan, pemain berusia 26 tahun itu turut menukar gambar profil akaunnya kepada imej hitam kosong, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi tentang keadaan emosinya.
Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-27 dunia dijangka kembali beraksi di Kejohanan Terbuka Jepun bermula 15 hingga 20 Julai ini, selepas lama berehat akibat kecederaan buku lali.
Sebelum ini, kedudukannya merosot selepas hanya menyertai dua kejohanan tahun ini dan menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia untuk memberi fokus kepada pemulihan.
Dengan Kejohanan Dunia di Paris yang semakin hampir pada Ogos nanti, dua kejohanan besar di Jepun dan China akan menjadi pentas penting buat Zii Jia mempersiapkan diri, di samping mengembalikan rentak sebelum bertemu cabaran lebih besar.