Brazil ingin ambil tindakan undang-undang susulan kematian Juliana Marins

Kerajaan Brazil memberi bayangan untuk mengambil tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa berhubung kematian warganya, Juliana Marins, yang maut ketika mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia akhir bulan lalu.
Pejabat Pembela Umum Persekutuan (DPU) Brazil telah meminta Polis Persekutuan Brazil menjalankan siasatan terhadap kemungkinan kecuaian pihak berkuasa Indonesia dalam mengendalikan insiden tersebut.
Jika terdapat bukti kukuh, Brazil merancang membawa kes ini ke Suruhanjaya Antara-Amerika bagi Hak Asasi Manusia (IACHR).
Sebaik jenazah Juliana tiba di Brazil, keluarganya meminta bedah siasat kedua dilakukan di Rio de Janeiro bagi menyiasat sama ada mangsa mendapat bantuan mencukupi selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 600 meter.
Bedah siasat pertama di Bali mengesahkan Juliana meninggal akibat kecederaan serius dan hidup kira-kira 20 minit selepas kejadian.
Brazil kini menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa Indonesia sebelum menentukan langkah undang-undang seterusnya.