Isu rogol kes anak teman wanita, JKM sedia ambil alih penjagaan mangsa rogol

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa rogol, khususnya kanak-kanak, sentiasa menjadi keutamaan.
Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih penjagaan sementara mangsa sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkeupayaan menjaga mereka.
Selain perlindungan fizikal, mangsa juga akan diberikan sokongan psikososial yang diperlukan untuk membantu proses pemulihan emosi dan mental.
Ia sebagai kenyataan susulan kes membabitkan seorang lelaki warga emas yang berdepan tuduhan merogol anak perempuan teman wanitanya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Taman Seraya, Ampang, tahun lalu.
Lelaki terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.