Bayi 15 bulan disyaki mati akibat didera ibu dan teman lelaki

PETALING JAYA , Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan disyaki maut akibat didera oleh ibunya dan teman lelaki wanita itu di sebuah lot kedai di Alor Gajah, Melaka, malam tadi.
Menurut Harian Metro, wanita berusia 24 tahun itu membawa bayi yang tidak sedarkan diri ke Hospital Tampin kira-kira jam 11 malam. Pemeriksaan doktor menemui kesan lebam pada perut, belakang dan dubur mangsa.
Siasatan awal mendapati wanita itu meninggalkan bayi berkenaan bersama teman lelakinya di kedai sebelum keluar membeli makanan. Dia mendakwa anaknya tidak sedarkan diri ketika mahu dibawa pulang.
Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar untuk bedah siasat. Polis mengesahkan laporan diterima dan pasangan itu kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.