Cadangan sahaja tidak memadai dalam RMK-13 untuk angkat masyarakat India — pelaksanaan dan pemantauan amat penting, tegas Vigneswaran

MIC telah mengemukakan satu laporan cadangan kepada kerajaan bagi dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) demi pembangunan masyarakat India di negara ini.
Pengerusi Kebangsaan MIC, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, cadangan tersebut merangkumi bidang-bidang penting seperti sosioekonomi, pendidikan, pembangunan belia dan wanita, serta keusahawanan.
Menurut beliau, pihaknya yakin kerajaan akan meneliti laporan itu dengan serius dan memasukkan cadangan relevan ke dalam RMK-13 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai nanti, serta memastikan pelaksanaannya dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.
Beliau turut mengakui bahawa pihak lain dalam komuniti India juga telah menyumbang cadangan masing-masing, namun menegaskan bahawa perkara paling utama adalah memastikan satu pelan tindakan yang benar-benar menyeluruh dan mampan dapat dilaksanakan demi manfaat masyarakat India secara keseluruhan.
Mengimbau semula usaha terdahulu, beliau berkata MIC sebelum ini pernah merangka Malaysian Indian Blueprint (MIB) yang diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan. Pelan itu ketika itu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diselia oleh satu Jawatankuasa Khas Kabinet.
Namun katanya, semua inisiatif tersebut terhenti susulan perubahan politik pada tahun 2018. Usaha MIC untuk menghidupkan semula pelan itu pada 2022 juga sekali lagi terhalang akibat perubahan politik yang berlaku.
“Justeru, menyusun pelan semata-mata tidak mencukupi. Yang lebih penting ialah komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan konsisten dan berkesan,” tegas Vigneswaran.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan perjumpaan ‘reunion’ pertama ketua-ketua Wanita MIC senior di ibu pejabat MIC, semalam.