Penurunan OPR dijangka tingkat pendapatan boleh guna rakyat Penganalisis ekonomi

Penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia daripada 3% kepada 2.75% dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan merangsang ekonomi.
Penganalisis ekonomi, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, langkah ini mengurangkan bayaran bulanan pinjaman, sekali gus memberi lebih ruang belanja kepada peminjam sedia ada dan menawarkan kadar pembiayaan lebih menarik kepada pemohon baru.
Bagaimanapun, kadar pulangan untuk pendeposit dijangka sedikit menurun, terutama bagi deposit baharu selepas tempoh matang.
Penurunan OPR ini juga didorong kadar inflasi yang masih rendah, membolehkan BNM merancakkan lagi aktiviti ekonomi tanpa risiko besar kenaikan harga barangan.
BNM pada Rabu mengumumkan pengurangan OPR susulan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) yang diadakan semalam dan ia merupakan kali pertama OPR turun di bawah 3% sejak Mac 2023.
Bank pusat itu berkata penunjuk terkini menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.