5 maut, 3 masih hilang selepas jambatan lama runtuh di Gujarat

Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala tiga lagi masih hilang selepas beberapa kenderaan terjunam ke dalam Sungai Mahisagar akibat jambatan Gambhira yang berusia 40 tahun runtuh di daerah Vadodara, Gujarat, India.
Insiden tragis itu menyebabkan beberapa trak dan kereta terhumban ke dalam sungai apabila bahagian tengah jambatan yang dibina pada 1985 itu tiba-tiba roboh.
Pasukan penyelamat termasuk pasukan tindak balas bencana sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat walaupun berdepan cabaran lumpur sedalam tiga meter dan hujan lebat yang melanda kawasan terbabit.
Dua lagi kenderaan, dipercayai sebuah kereta dan sebuah trak, masih dicari dalam sungai. Sebuah jambatan sementara sedang dibina untuk memudahkan gerak kerja menyelamat.
Penduduk tempatan mendakwa jambatan itu sudah lama tidak stabil dan bergegar setiap kali dilalui kenderaan.
Tragedi ini mengingatkan semula kejadian pada 2022 di Gujarat apabila lebih 140 orang terkorban selepas jambatan gantung kabel di bandar Morbi runtuh hanya beberapa hari selepas kerja-kerja pengubahsuaiannya selesai.