Kurangkan risiko kemalangan Sungai Korok, Sanusi cadang tanam pokok buluh

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan supaya tebing Sungai Korok ditinggikan dan ditanam pohon buluh madu sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan, susulan tragedi enam sekeluarga maut selepas kereta mereka terjunam ke dalam sungai itu baru-baru ini.
Menurut beliau, selain lebih murah dan mesra alam, penanaman buluh madu berpotensi menjadi benteng semula jadi bagi mengelak kenderaan terbabas terus ke dalam sungai.
Kaedah ini juga dilihat praktikal terutama di kawasan yang masih mempunyai rizab tanah berhampiran sungai.
Sanusi menjelaskan kos memasang pagar penghadang boleh mencecah jutaan ringgit jika melibatkan jarak panjang, sedangkan buluh hanya memerlukan masa untuk matang sebelum berfungsi sebagai penghalang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu akan dibawa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kajian lanjut mengikut kesesuaian lokasi kerana tidak semua kawasan sesuai dengan penanaman buluh.