Zii Jia kemurungan? KBS sedia hantar bantuan – Hannah Yeoh

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan kesediaan membantu Lee Zii Jia termasuk menyediakan sokongan mental dan khidmat pakar psikologi jika diperlukan, menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Menurut Menteri Hannah Yeoh, Zii Jia boleh terus menghubungi pihaknya, MSN atau atlet senior lain memandangkan beliau sudah mempunyai akses dan pernah berbincang bersama dalam mesyuarat Jawatankuasa Road to Gold sebelum ini.
Hannah berkata KBS sentiasa membuka ruang kepada atlet profesional, bukan hanya mereka di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), untuk mendapatkan bantuan daripada ISN.
Perkara itu dibangkitkan susulan kebimbangan mengenai tahap kesihatan mental Zii Jia selepas beliau memuat naik gambar lukisan yang dikaitkan dengan kemurungan di Instagram baru-baru ini.