Anwar jemput Trump hadir Sidang Kemuncak ASEAN-AS Oktober ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Jemputan rasmi itu disampaikan kepada Trump melalui Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar di Bangunan Parlimen hari ini.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Rubio ke Asia sejak dilantik awal tahun ini dan menerusi pertemuan kira-kira 40 minit itu, Anwar turut membuka ruang kerjasama lebih luas antara Malaysia dan AS dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
Mereka juga berbincang mengenai isu-isu serantau termasuk Palestin, Ukraine dan Myanmar.
Rubio kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan, mewakili AS dalam acara yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Anwar menegaskan hubungan erat Malaysia-AS penting sebagai pemangkin kestabilan dan kemakmuran rantau Indo-Pasifik.