Semua majikan wajib bayar gaji minimum RM1,700 mulai 1 Ogos

Mulai 1 Ogos 2025, semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja diwajibkan membayar gaji minimum RM1,700 sebulan seperti ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), perintah ini turut terpakai kepada pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak melibatkan pekhidmat domestik.
Semua majikan perlu menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja dibayar di bawah kadar minimum.
Kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, manakala kesalahan berulang boleh membawa denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga lima tahun.
Majikan juga digalakkan memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang memberi insentif tunai bersasar bagi syarikat yang meningkatkan gaji mengikut kemahiran dan produktiviti pekerja.