Kanak-kanak lelaki ditemukan maut, ditanam di kawasan belukar di Jempol

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, M Tishant yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor pada Khamis lalu ditemukan maut dalam keadaan tertanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Mayat mangsa dijumpai oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol kira-kira jam 4.30 petang Isnin.
Sebelum penemuan tersebut, polis telah menahan bapa kandung kanak-kanak itu yang berusia 36 tahun, susulan laporan kehilangan yang dibuat sendiri oleh lelaki berkenaan.
Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa, namun polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu maut akibat jerutan. Mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.