Budak 2 tahun disorok dalam beg pakaian, wanita 27 tahun ditahan

Seorang wanita berusia 27 tahun didakwa atas kesalahan mendera dan mengabaikan kanak-kanak selepas seorang budak perempuan berusia dua tahun ditemui disembunyikan dalam sebuah beg pakaian di ruang simpanan bagasi bas antara bandar di utara Auckland, New Zealand.
Insiden berlaku ketika bas InterCity berhenti di bandar kecil Kaiwaka, apabila seorang penumpang meminta membuka ruang bagasi. Pemandu yang curiga melihat beg bergerak, kemudian menemui mangsa dalam keadaan panas dan trauma.
Kanak-kanak tersebut segera dibawa ke hospital dan kini dalam pemerhatian pakar perubatan serta pihak kebajikan. Polis masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan pertuduhan lain akan menyusul.
Wanita terbabit dijangka dihadapkan ke Mahkamah Daerah North Shore bagi menghadapi pertuduhan rasmi. Hubungan antara wanita dan mangsa masih dalam siasatan.