Hampir 40,000 aduan jalan rosak diterima, KKR komited baiki dalam 24 jam

Sejak pelancarannya pada Ogos 2023, aplikasi MyJalan telah menerima sebanyak 39,371 aduan berhubung kerosakan jalan raya di seluruh negara sehingga 30 Jun lalu.
Daripada jumlah itu, lebih 30 peratus melibatkan Jalan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR), manakala selebihnya melibatkan jalan seliaan kerajaan negeri dan agensi lain.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Sarawak sahaja mencatatkan lebih 800 aduan, dengan majoriti melibatkan jalan bukan di bawah kendalian KKR.
Bagi menangani isu kerosakan dengan lebih pantas dan berkesan, KKR menetapkan tempoh maksimum 24 jam untuk menampal lubang di Jalan Persekutuan yang rosak, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Aduan lain seperti papan tanda rosak, halangan jalan, lampu isyarat atau kejadian tanah runtuh pula diberi tempoh tindakan sehingga 15 hari bekerja.
Sehingga kini, lebih 53,000 pengguna telah memuat turun aplikasi MyJalan, yang membolehkan orang ramai melaporkan masalah jalan raya dengan mudah tanpa perlu berada di lokasi kejadian.