SPRM mohon pasport menantu Muhyiddin dibatalkan, dikesan di negara Timur Tengah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon pembatalan pasport antarabangsa Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia selepas dirinya gagal dikesan bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Adlan dipercayai berada di sebuah negara Timur Tengah yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, sekali gus menyukarkan usaha membawa pulang beliau.
SPRM berkata usaha pengesanan masih diteruskan dan berharap Kementerian Dalam Negeri akan meluluskan permohonan pembatalan pasport yang dikemukakan sebelum ini.
Terdahulu, pada Ogos 2023, SPRM mendedahkan Adlan bersama seorang peguam, Mansoor Saat, 70, meninggalkan negara ini masing-masing pada 17 dan 21 Mei tahun lalu bagi mengelak siasatan kes berkenaan.