Agong berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Hari Pahlawan

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menghadiri Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2025 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi tadi.
Baginda tiba bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada jam 8.33 pagi dan disambut dengan kawalan kehormat melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Penjara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Baginda turut memeriksa perbarisan dan menyaksikan acara simbolik seperti tiupan ‘Paluan Akhir’ dan ‘Paluan Fajar’, serta bacaan sajak bertajuk Darah Yang Terpercik Di Baju yang mengisahkan perjuangan wira negara.
Upacara disusuli dengan seminit bertafakur sebagai penghormatan kepada pahlawan yang terkorban.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan setiap 31 Julai merupakan penghargaan tertinggi negara kepada jasa dan pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan tanah air.