Air jagung Gopi Rizqi laris seawal 5:30 petang selepas jumpa TMJ

Bekas pemain kebangsaan, Mohammad Gopi Rizqi, semakin laris menjual air jagung di Kampung Api-Api, Pontian, selepas pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Setiap hari, jualannya habis seawal jam 5:30 petang, dengan peminat bola sepak turut datang untuk bertemu dengannya.
Pada mulanya, Gopi hanya berniaga untuk mengisi masa lapang dan mencari pendapatan tambahan sempena Ramadan.
Namun, selepas kisahnya tular, jualannya melonjak daripada 30 bungkus kepada lebih 150 bungkus sehari.
Beliau juga menerima panggilan daripada TMJ yang menjemputnya ke Johor Bahru, sesuatu yang tidak dijangkakannya selepas kali terakhir bermain untuk JDT pada 2017.
Dengan sambutan luar biasa, Gopi kini mempertimbangkan untuk terus berniaga selepas Ramadan, menjadikan jualan air balang sebagai sumber pendapatan baharu.