AirAsia X umum laluan baharu ke Nairobi, Kenya, mulai 15 Nov 2024

Kuala Lumpur, Julai 2 – Syarikat Penerbangan Tambang Rendah terbaik dunia AirAsia, menerusi AirAsia X (AAX) melebarkan sayap penerbangan antarabangsa, mengumumkan pembukaan laluan baharu ke Nairobi, Kenya dengan penerbangan pertama dijangka pada 15 November depan.
Pembukaan laluan baharu itu sekali gus menjadikan AAX sebagai satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia yang menawarkan sambungan udara secara terus ke benua Afrika berkenaan.
Sementara itu,Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata terdapat permintaan yang tinggi untuk perjalanan di antara ASEAN dan Afrika, terutamanya ke Malaysia dan pihaknya teruja mengumumkan Kenya sebagai destinasi baharu dalam rangkaian mereka.
Benyamin berkata sedemikian semasa pelancaran laluan baharu itu di ibu pejabat AirAsia di Sepang, semalam dan turut hadir Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yasmin Mahmood.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengembangan ini akan memainkan peranan penting menghubungkan Malaysia, Oceania, dan Afrika dengan cara yang mampu milik dan cekap.
Tambang promosi untuk laluan baharu ini akan bermula dari RM471 termasuk surcaj bahan api, cukai dan caj-caj berkaitan.