Malaysia

Anggota Polis Trafik parah, dirempuh pemandu mabuk ketika bertugas di Johor Bahru

Kuala Lumpur, Julai 15 – Seorang anggota polis trafik berhadapan detik cemas apabila parah dirempuh pemandu mabuk ketika sedang mengawal lalu lintas di Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya di Johor Bahru awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat,kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.05 pagi, dan mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an mengalami patah tulang pinggul sebelah kiri dan luka pada bahagian muka, dagu serta tangan sebelah kanan.

Katanya, kemalangan tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS sedang membuat kawalan lalu lintas susulan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas di lorong kanan tempat kejadian.

“Bagaimanapun, ketika proses penundaan dilakukan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna perak dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri sebelum melanggar anggota berkenaan yang sedang berdiri di sebelah kiri trak tunda.

“Akibat kemalangan itu, anggota berkenaan tercampak ke atas cermin hadapan kereta Proton Wira tersebut dan kemudian melambung sebelum terjatuh di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil ujian pernafasan ke atas pemandu berusia 30an itu, mendapati positif alkohol, manakala ujian saringan air kencing pula negatif daripada sebarang jenis dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) (B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker