Anthony Loke sumbang RM362,000 untuk sekolah Tamil di Seremban

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan sumbangan berjumlah RM362,472 kepada enam buah sekolah Tamil di kawasan parlimen Seremban bagi tujuan keperluan pendidikan dan kemudahan.
Ahli Parlimen Seremban itu dalam ucapannya berkata, sumbangan ini diyakini dapat membantu meningkatkan kemudahan pembelajaran, terutama dalam memperkukuh aspek digitalisasi dan keselesaan sekolah Tamil di Seremban.
Antara sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lobak dengan dana sebanyak RM86,280, SJKT Nilai (RM66,415), SJKT Tun Sambanthan (RM69,467), SJKT Ladang Cairo (RM63,950), SJKT Ladang Lenggeng (RM33,460) dan SJKT Nilai Impian (RM42,900).
Pelbagai jenis bentuk sumbangan yang dihulurkan oleh Anthony antaranya termasuk pembelian kelengkapan ICT seperti komputer, komputer riba, pencetak, projektor, papan pintar dan visualizer bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam pembelajaran.
Selain itu, bantuan turut merangkumi perolehan Smart TV, skrin projektor serta peralatan bilik darjah seperti kerusi, meja guru dan murid dan kos menaik taraf kemudahan kantin bagi keselesaan warga sekolah.
Beliau turut memberi amaran bahawa pihaknya akan melakukan pemantauan rapi untuk memastikan setiap sen dibelanjakan secara telus dan bertanggungjawab.
Jika terdapat penyelewengan atau kegagalan membuat laporan perbelanjaan, sekolah terbabit berisiko kehilangan peluang menerima bantuan pada masa depan serta berdepan siasatan.