Anwar rasmi projek Kota Madani bernilai RM4 bilion

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan projek mega Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya – sebuah pembangunan bandar pintar bernilai RM4 bilion yang menekankan elemen mesra rakyat dan alam sekitar.
Dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd menerusi model kerjasama awam-swasta BLMT (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah), projek ini tidak melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Kota MADANI bakal menawarkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi, menempatkan lebih 30,000 penduduk, lengkap dengan sekolah menegak, institusi TVET, fasiliti kesihatan, keselamatan, masjid, institusi kewangan, serta pelbagai kemudahan awam.
Reka bentuk bandar ini turut mengintegrasikan AI, infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau, sambil mengekalkan unsur budaya tempatan. Fasa pertama dijangka bermula September ini dan siap menjelang akhir 2027.
Projek ini menjadi simbol usaha kerajaan menjayakan visi Malaysia MADANI dan konsep bandar CHASE – bersih, sihat, maju, selamat dan lestari, serta dijangka menjadi penanda aras pembangunan bandar masa depan di negara ini.