Anwar tiba di Thailand, kukuhkan hubungan dua hala dan tandatangani projek jambatan baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja dua hari ke Thailand pada Khamis, sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan ini disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan wakil tertinggi kerajaan lain.
Anwar dijadual bertemu Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bagi membincangkan susulan Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-7 yang berlangsung di Putrajaya tahun lalu.
Pertemuan itu juga bakal menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Pembinaan bagi projek Jambatan Rantau Panjang – Sungai Kolok, yang akan memudahkan hubungan darat dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Thailand merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam ASEAN dan ketujuh di peringkat global.