“Apa sumbangan peniaga vape kepada negara? Mereka hanya beban kepada sektor kesihatan awam” – Yuneswaran

Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan yang sedang meneliti pengharaman menyeluruh penggunaan vape di Malaysia, sambil mempersoalkan sumbangan pemain industri terhadap beban kesihatan awam akibat penggunaan produk itu.
Menurutnya, pengharaman vape bukan sekadar isu perniagaan, tetapi melibatkan kepentingan kesihatan rakyat dan beban yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan.
“Apa sumbangan peniaga vape kepada pesakit di hospital? Bagi saya, tiada langsung. Keuntungan mereka tidak menyumbang apa-apa kepada rawatan atau kesihatan awam,” katanya.
Beliau turut menggesa agar peniaga vape bersedia dengan pelan keluar (exit plan) dan beralih kepada industri yang lebih selamat serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Jelas Yuneswaran, akses mudah kepada vape, terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, amat membimbangkan, ditambah pula dengan iklan dan promosi yang giat dijalankan walaupun di negeri-negeri yang telah mula menguatkuasakan larangan tertentu.
“Ini bukan soal perang antara kerajaan dan syarikat vape, tapi soal kesihatan negara. Kita perlukan lebih banyak advokasi dan kesedaran masyarakat mengenai bahayanya,” tambahnya.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti pengharaman penuh vape, dengan beberapa negeri telah mengambil tindakan awal termasuk tidak memperbaharui lesen jualan produk berkenaan