AS patut kenakan timbal balas 2.8%, bukan 24% – Tengku Zafrul

Amerika Syarikat (AS) sepatutnya hanya mengenakan kadar timbal balas sebanyak 2.8% sahaja ke atas produk dari Malaysia, bukan 24% seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kadar 24% yang dikenakan itu berpunca daripada salah faham terhadap tarif sebenar yang dikenakan Malaysia ke atas produk AS.
Katanya, AS yang mendakwa Malaysia kenakan 47% tarif adalah berdasarkan kiraan defisit dagangan dan ia bukan kadar tarif sebenar.
Zafrul menjelaskan, pihak AS mengambil jumlah defisit dagangan mereka dengan Malaysia iaitu sebanyak AS$24.8 bilion, dan membahagikan dengan jumlah import mereka dari Malaysia sebanyak AS$52.5 bilion, lalu mendapatkan angka 0.47 atau 47%, yang dianggap sebagai ‘alasan’ untuk tindakan balas.
Beliau menegaskan, Malaysia bersedia untuk berbincang secara terbuka dan telus, namun tindakan mengenakan tarif balas yang berasaskan data tidak tepat perlu dikaji semula.