ASEAN perlu lebih berdikari hadapi tarif AS — Anwar

Negara-negara ASEAN bersetuju menghantar pegawai ke Washington D.C bagi memulakan dialog susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif tinggi ke atas produk dari rantau ini, termasuk Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan diplomasi senyap lebih berkesan daripada retorik terbuka, namun menyatakan ASEAN tidak boleh terus bergantung kepada kuasa luar.
Beliau yang bercakap dalam ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN pada Selasa menjelaskan, ASEAN mesti lebih bergantung kepada dirinya sendiri, khususnya dengan mengukuhkan perdagangan intra-ASEAN.
Anwar menyifatkan tindakan tarif pentadbiran Trump sebagai satu cabaran terhadap multilateralisme, namun ASEAN perlu terus bertahan dengan pendekatan pragmatik dan terbuka.
Tarif terbaru AS melibatkan kadar setinggi 49% ke atas Kemboja, diikuti Vietnam (46%), Myanmar (44%), dan Malaysia (24%).
Sementara Brunei juga dikenakan tarif 24 peratus, barangan eksport Indonesia ke AS boleh melihat tarif 32 peratus. Tarif 17 peratus dan 10 peratus turut dikenakan masing-masing ke atas Filipina dan Singapura.