Asyraf Khalid saman Caprice berhubung 31 hantaran fitnah

Usahawan Muhammad Asyraf Khalid memfailkan saman terhadap penyanyi rap dan penerbit muzik, Ariz Ramli atau Caprice berhubung 31 hantaran berbaur fitnah di Instagram.
Hantaran tersebut berkaitan video pra-siaran podcast Audio Siar yang dikendalikan Asyraf.
Writ saman, penyataan tuntutan dan permohonan injunksi difailkan di Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos lalu menerusi Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co.
Permohonan injunksi itu bertujuan menghalang Caprice daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan berbaur fitnah serta memaksa beliau memadamkan hantaran berkenaan daripada semua platform.
Kes yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan ke 18 Ogos kerana pertukaran hakim.
Asyraf Khalid sebelum ini menegaskan tindakan undang-undang diambil bagi membetulkan persepsi awam, menjaga maruah keluarga dan melindungi reputasi perniagaannya yang didakwa terjejas.