Baju hujan tersepit pada rim, kanak-kanak 11 tahun cedera di tangan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera selepas tangan kirinya tersepit pada rim motosikal dalam satu kemalangan di Jalan Tok Wan Don, Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau pada pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.44 pagi itu, mangsa yang menaiki motosikal Yamaha LC135 bersama seorang lelaki dewasa dipercayai bapa saudaranya, tersepit selepas baju hujan yang dipakainya tersangkut pada rim motosikal.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Fairus Omar berkata, bomba tiba di lokasi pada jam 9.50 pagi, namun mendapati tangan mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Kanak-kanak lelaki itu difahamkan dihantar ke hospital oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.58 pagi melibatkan enam anggota dengan kekuatan dua jentera dari BBP Balik Pulau.