Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Dilanjutkan Kepada Pelajar Tingkatan 6 Mulai Sesi 2025/2026
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 mulai sesi persekolahan 2025/2026, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 100,000 pelajar dengan kos keseluruhan sebanyak RM15 juta.
“Ini adalah peluang baik kerana ini kali pertama pelajar Tingkatan 6 menerima BAP. Kami mahu mereka terus cemerlang kerana Tingkatan 6 adalah fasa penting selepas SPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BAP akan diagihkan kepada pelajar Tingkatan 6 sedia ada pada Februari 2025, manakala pelajar baharu akan menerimanya pada Julai 2025.
Langkah ini, menurut Fadhlina, mencerminkan keprihatinan kerajaan Madani dalam meringankan beban kewangan ibu bapa dan menggalakkan lebih ramai pelajar memilih Tingkatan 6 sebagai laluan pendidikan.