Bantuan tidak hanya menerusi MITRA, RM40 juta disalur terus kepada penerima – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bantuan kepada masyarakat India tidak terhad kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) semata-mata.
Sebaliknya, ia turut disalurkan secara menyeluruh menerusi pelbagai kementerian meliputi bidang pendidikan, perumahan dan perniagaan.
Menurut beliau, selain peruntukan tahunan RM100 juta yang dikhaskan kepada MITRA, kerajaan telah menyalurkan terus sejumlah RM40 juta kepada agensi berkaitan dan penerima yang dikenal pasti, selepas meneliti semula semua permohonan pada tahun 2025.
Antara program yang dilaksanakan melalui peruntukan tambahan RM40 juta itu termasuk menaik taraf infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan di Perkampungan India iaitu sejumlah RM5 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain itu, program menambah baik peralatan Makmal ICT di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kategori Sekolah Bantuan Kerajaan, RM5 juta di 50 SJKT melalui Kementerian Pendidikan.
Seterusnya adalah memperkasa 200 rumah ibadat Hindu atau kuil berdaftar sebagai Pusat Komuniti Setempat dengan RM20 juta melalui MITRA dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perpaduan.
Bantuan one-off untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil rumah pekerja ladang India B40 melibatkan RM10 juta melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Dengan tambahan ini, jumlah kelulusan peruntukan MITRA sehingga 15 Ogos 2025 telah mencecah RM62.28 juta atau 62.3 peratus daripada keseluruhan RM100 juta yang disediakan bagi tahun ini.